IPOH: Lebih 20,000 menghadiri program Selawat Perdana bersama Habib Umar di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini sebentar tadi. Mereka terdiri daripada pelajar maahad tahfiz, sekolah agama, kakitangan kerajaan dan orang ramai.
Program itu anjuran bersama Pejabat Menteri Besar, Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) dan Pertubuhan Majlis Muwasolah Baina Ulama Wal Muslimin.
Program itu yang menampilkan tetamu istimewa iaitu ulama terkemuka dari Yaman, Al Habib Umar Hafidz serta kumpulan ahli agama dan tokoh dari pelbagai negara termasuk wilayah Pattani.
Program sejak 6 petang dimulakan dengan qasidah dan diteruskan dengan solat Maghrib dan Isyak selain persembahan nasyid dan bacaan maulid. Program malam ini akan berakhir dengan syarahan perdana oleh Habib Umar.
Habib Umar yang menghafaz al-Quran ketika usia muda dan mengajar agama ketika berusia 15 tahun juga sudah menghafal lebih 100,000 hadis berserta sanad dan hukum matan.
Beliau kini semakin dikenali di seluruh dunia apabila berada pada kedudukan ke-28 tokoh Muslim berpengaruh oleh 500 Most Influential Muslim, disenaraikan tempat ke-33 daripada 100 individu berpengaruh di dunia oleh majalah Forbes selain dipilih majalah Times sebagai manusia ke-35 paling berpengaruh di dunia pada tahun 2011.